Sahabat,
dengarlah kata hati ini,
walau matamu sengaja dipejam,
walau telingamu sengaja dituli,
walau mulutmu sengaja dikunci,
dengarlah wahai sahabat... kerna aku sangat menyayangimu,
Sahabat,
ingatkah kamu tentang hari-hari itu,
kita bersama gelak dengan gembira,
tersenyum riang,
Ingatkah lagi?
Aku masih ingat,
dan aku terus simpan memori itu
di dalam kendaga emasa
yang akan sentiasa ku buka
tika aku menyayangimu.
Sahabat,
mengapa kau kuncikan lidahmu
tatkala aku berusaha menegurmu?
mengapa kau memalingkan wajahmu
ketika aku cuba menyapamu?
mengapa kau menghela nafasmu
apabila aku cuba berbicara?
Sahabat,
luahkan apa yang ada dihatimu,
huraikan apa yang terikat,
bukakan apa yang tersirat,
jangan biar ianya berkulat
ku bimbang hubungan kita kelak
menjadi kelat.
Sahabat,
jika aku bersalah,
apakah tidak bisa kau menegurku?
jika aku berdosa,
apakah tidak bisa kau sedarkanku?
jika aku tersilap,
apakah tidak bisa kau membimbingku?
Aku hanyalah insan, sahabat.
Aku tidak mungkin terlepas
dari segala khilaf dan ralat.
Sahabat,
ajarilah daku,
tunjukkan daku,
bimbinglah daku,
tentang apa yang kau inginkan,
tentang apa yang kau mahukan,
tentang apa yang kau dambakan,
jangan biar dirimu memikul beban berseorangan.
Aku sentiasa di sisimu,
sehingga tiba saat
aku perlu mengundur diri
dari alam yang fana ini.
Sahabat,
dengan kuasa-Nya kita bertemu,
dengan takdir-Nya kita terikat,
jadi...
aku mahu kita terus thabat
dalam terus erat
dalam bersahabat
hingga ke akhir hayat.
Salam sayang,
Sahabatmu.
No comments:
Post a Comment